Friday 30 December 2011

Solat Qasar Dan Jama'


Panduan Solat Qasar Dan Jama'




Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 Solat Qasar
1.1 Takrifan
      Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar  dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh   diqasarkan.
1.2 Hukum Qasar
      Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
      I.  Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;
         “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 
           mengqasarkan    (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh 
           orang kafir…” 
     ii. Al-Sunnah yang bermaksud;
      ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan  kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku  telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” 
     (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 
1.3 Jarak Dibenarkan Qasar
      Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin  mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua  marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
1.4  Syarat Solat Qasar
      i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
      ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah
         (89 kilometer / 56 batu).
      iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
      iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam  (sempurna).
      v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat  rakaat.

1.5  Contoh Niat
                       أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
     
Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala    

2.0  Solat Jama’
2.1   Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
i.  Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu  
           Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
     Ii.  Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu  
            Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam  waktu Isya’.
2.2 Syarat Solat Jama’
2.2.1.Solat Jama’ Taqdim
      i.  Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat  
          Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
      ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi  
          yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
      iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
      iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang
          kedua.
      v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur  atau Maghrib)
         berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir
      i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
      ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang  
         kedua.  



2.3 Contoh Niat
2.3.1 Jama’ Taqdim
i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
 
  
Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaatdihimpunkan kepadanya Asar tunai
Kerana Allah taala.  
ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
  
  Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala.)
2.3.2  Jama’ Ta’khir
i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
    
Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai  kerana Allah Taala
ii.  Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
Sahaja aku solat fardhu Zuhur  dua rakaat dihimpunkan  kepada Asar tunai kerana  Allah Taala .  



No comments:

Post a Comment

Pages